WELCOME TO MY HOT & COOL PAGES!

THANKS 4 READING..........MUAHHHH3...

Ya TuHan.....


Sahabat Baik Terjebak Cinta Sejenis  

APA BEZA ANTARA KAWAN, SAHABAT DAN TEMAN? MUNGKIN ADA DI ANTARA ANDA YANG MASIH TERCARI-CARI MAKSUD DI SEBALIKNYA. APA YANG PASTI SEORANG SAHABAT SEJATI SANGGUP BERSAMA TEMANNYA DI KATA SUSAH DAN SENANG. MINGGU INI KITA BERKONGSI KISAH SEORANG WANITA YANG BERASA SANGAT SEDIH KERANA SAHABAT DISAYANGINYA SEAKAN-AKAN MELUPAKAN DIRINYA BILA BERHUBUNG BAIK DENGAN KAKAK ANGKAT YANG JUGA BEKAS GURU MEREKA SUATU KETIKA DAHULU. KEAKRABAN PERHUBUNGAN MEREKA JUGA DIRAGUKAN KERANA KEDUANYA SENTIASA BERGAYUT DI TELEFON BERJAM-JAM LAMANYA SELAIN SENTIASA BERBALAS SMS HINGGA MENJEJASKAN PERNIAGAAN YANG DIJALANKAN. SEMOGA KISAHNYA MENJADI PENGAJARAN KEPADA PEMBACA.
Saya berusia 30-an, masih bujang dan menguruskan perniagaan bersama seorang sahabat baik. Kami berkenalan sejak sekolah dan melanjutkan pengajian ke universiti yang sama. Kami juga serasi bersama dan sependapat dalam banyak hal. Selepas tamat pengajian di universiti, kami memulakan perniagaan, tanpa pengalaman dan duit, kami nekad berniaga. Sangat susah tetapi dia tetap bersama saya sekali pun keluarganya mempunyai bisnes. Semua ini membuatkan saya sangat sayang kepadanya dan penat lelah kami sangat berbaloi. Masalah mula timbul bila bekas guru kami mula mengganggu perhubungan baik kami ini. Usianya jauh lebih tua dan sudah berkeluarga.
Kakak angkat kepada sahabat saya ini berasa kagum dengan persahabatan kami yang tiada pertalian darah tetapi boleh berniaga bersama-sama. Kekagumannya pada persahabatan kami membuatkan dia sering berbalas SMS dengan sahabat saya. Dari perbualan biasa, saya kemudian nampak mereka lain macam. Keduanya akan berbual di telefon berjam-jam lamanya dan akan berbalas berpuluh SMS sehari. Setiap kali menerima panggilan telefon dari bekas guru ini, sahabat saya akan melarikan diri jauh dari saya.
Biasanya mereka akan bercakap di telefon hingga jam 4 pagi seperti orang yang kemaruk bercinta. Pernah saya baca mesej di telefonnya dan masya-Allah, kata-kata SMS itu berbaur cinta. Kami kerap bergaduh kerana saya rasa cemburu. Malah saya bukan lagi menjadi tempat untuk sahabat meluahkan suka duka sebaliknya kepada kakak angkatnya itu. Terlalu banyak rahsia antara mereka berdua. Perniagaan kami juga mula goyah kerana sahabat saya banyak menghabiskan masa dengan kakak angkatnya itu selain beralih kepada perniagaan keluarganya. Bil telefon juga mencecah ratusan ringgit sebulan.
Saya kerap mendengar alasannya seperti mengantuk atau letih kerana asyik berjaga hingga lewat malam melayan panggilan daripada bekas guru kami itu. Sebagai sahabat, saya sayangkan dirinya dan tidak mahu dia terjerumus dalam perhubungan songsang. Bila saya menyuruh dia memilih saya atau kakak angkatnya ternyata dia begitu menyayangi kakak angkatnya. Saya pernah bersemuka dengan kakak angkat dan dia pernah berkata tidak akan melepaskan sahabat saya dan akan memastikan sahabat saya jadi miliknya. Saya sangat sedih, s ahabat bagaikan di pukau dan menurut saja perlakuan dia.
Baru ini, saya dapat tahu hubungan dia dan suami bermasalah. Kata suaminya, dia terlalu banyak menghabiskan masa dengan sahabat saya itu tetapi lain pula cerita yang saya dengar dari kakak angkat sahabat saya itu. Ceritanya suaminya mempunyai wanita lain. Kini saya terasa kehilangan seorang sahabat baik, seorang yang saya sangat sayang. Lebih teruk lagi perniagaan yang kami jalankan bersama, kedai, rumah dan pinjaman bank yang berjuta ringgit. Hendak berundur saya sayang tetapi sahabat saya seperti sudah tidak mempedulikan soal perniagaan kami lagi sebaliknya tetap bersama kakak angkatnya itu.
Hari-hari saya menangis. Saya rindukan persahabatan kami yang lalu. Namun saya tabahkan hati dengan melakukan solat sunat dan bertahajud setiap malam namun ingatan saya terhadapnya dan terhadap apa yang dia telah lakukan kepada saya akan sentiasa mencarik-carik hati dan perasaan saya. Bantulah saya kerana rasanya saya seakan sudah putus harapan untuk meneruskan kehidupan, apatah lagi meneruskan perniagaan ini.

Selanjutnya di dalam majalah MINGGUAN WANITA minggu ini.



Anak terguris sikap kasar ibu




SAYA berusia 25 tahun dan anak sulung daripada 10 beradik. Adik bongsu berusia lapan tahun dan yang tinggal di rumah hanya enam orang kerana empat lagi kini belajar dan tidak tinggal bersama kami.
SAYA berusia 25 tahun dan anak sulung daripada 10 beradik. Adik bongsu berusia lapan tahun dan yang tinggal di rumah hanya enam orang kerana empat lagi kini belajar dan tidak tinggal bersama kami.

Masalah saya ialah mengenai ibu saya yang kasar dalam mendidik anak. Mungkin faktor bilangan anak yang ramai menyebabkan ibu cepat hilang sabar dengan kerenah anak yang masih kecil. Namun adakalanya hati saya menafikannya.

Ibu selalu menengking dan menggunakan kata-kasar kasar terhadap kami seperti anak jahat, celaka dan lain-lain lagi yang tidak tergamak saya nyatakan di sini. Kami juga sering ditarik rambut dan ditolak, malah adik lelaki saya sekarang sering dipukul dengan penyangkut baju.

Punca kami dipukul biasanya kerana gemar bermain hingga jarang mengendahkan suruhannya. Kenapa dia tidak menggunakan pendekatan lain?

Terus terang, pengalaman dibesarkan dengan cara begitu membuatkan saya hilang hormat dan membataskan kemesraan antara kami. Ibu berbeza dengan adiknya yang menggunakan kata-kata lembut menasihati anaknya dan saya dapati anaknya mudah menurut kata, malah saya sendiri selesa mendengar kata-katanya.

Ayah pula hanya berdiam diri dan adakalanya dia turut dileteri ibu. Saya tidak bersetuju dengan cara ibu mendidik kerana ibu hanya tahu menyuruh tapi tidak berusaha mengajar. Dari awal pagi ibu meninggikan suara, dia anggap anak membebankan dia dalam setiap perkara.

Dia menyuruh anak solat tapi tidak pernah mengajak untuk solat bersama dan menganggap semua itu diajar oleh guru di sekolah. Dia asyik berleter kerana keadaan rumah yang bersepah dan anak tidak pandai mengemas, sedangkan dia sendiri memberi contoh buruk dan tak suka mengemas.

Saya sudah jemu mengemas dapur kerana ibu yang menyepahkan. Minyak tumpah atas lantai dibiarkan, bekas yang diguna ditinggal merata-rata, sampah bertaburan atas lantai dan yang paling menguji kesabaran saya ialah sinki yang tidak dibersihkan.


Balik daripada kerja, sinki sentiasa busuk dengan air ikan atau ayam. Apabila saya bersuara, ibu mengatakan dia tidak berhenti buat kerja dari pagi lagi sedangkan dia asyik bersembang dengan jiran. Jika benar tidak berhenti dari pagi, kenapa hanya sempat basuh pakaian serta masak nasi, satu lauk dan goreng ikan saja.

Saya pernah menegur suara ibu yang terlalu kuat, namun saya dimarahi. Tengkingannya membuat anak memberontak, bukan ingin menurut seikhlas hati. Mohon Dang Setia beri saya tunjuk ajar untuk menghadapi sikap ibu.

Adakalanya saya geram dengan ayah yang tidak pernah menegur sikap ibu. Saya kasihankan adik yang tidak berasakan nikmat kasih sayang dan belaian seorang ibu.
ANAK TERGURIS

Dang Setia kerap menerima masalah daripada anak yang tidak berpuas hati dengan cara ibu bapa dalam mendidik anak, gagal menyempurnakan tanggungjawab atau lebih teruk lagi, yang melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.

Apabila berdepan masalah sebegini, perkara penting yang Dang Setia ingin tekankan ialah jangan terus membuat kesimpulan ayah atau ibu kita jahat dan jangan bertindak keterlaluan sehingga sampai ke tahap menderhaka.

Dalam masalah saudari contohnya, satu perkara yang saudari perlu faham ialah, tindakan ibu saudari yang sering bersikap kasar, memaki hamun atau secara keseluruhannya gagal menggunakan pendekatan betul untuk mendidik anak harus dilihat daripada skop lebih luas.

Ini kerana, zaman ketika dia (ibu) kanak-kanak dan remaja jauh berbeza dengan apa yang kanak-kanak dan remaja hari ini lalui. Namun mereka kurang menyedari perbezaan ketara itu atau mereka tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Oleh itu ramai di kalangan ibu bapa mendidik anak sebagaimana mereka dididik 30 atau 40 tahun lalu. Mungkin ibu saudari dulu dididik oleh ibunya dengan cara kasar, menyebabkan dia juga menggunakan pendekatan sama apabila mendidik anaknya.

Itu mungkin antara puncanya dan ia boleh jadi juga disebabkan jumlah anak yang ramai (10 orang) menyebabkan ibu saudari lebih senang menggunakan cara kasar kerana ia disifatkannya lebih berkesan berbanding cara lembut atau berdiplomasi.

Bagaimanapun, perkara penting yang Dang Setia mahu saudari sedar ialah, ibu saudari sebenarnya sayangkan anaknya dan niatnya juga baik, cuma caranya tidak kena.

Justeru, di sebalik segala sikap negatifnya, Dang Setia mahu saudari berfikir mengenai satu perkara. Tidakkah saudari perlu bersyukur kerana saudari masih ada ibu.

Biarpun buruk perangainya, percayalah ia jauh lebih baik berbanding ramai lagi insan lain di dunia ini yang merintih kesedihan kerana ketiadaan ibu kerana pelbagai sebab.

Biarpun ibu sering bersikap kasar dan memaki hamun anak, dia tetap menyediakan makanan serta pelbagai keperluan kehidupan lain untuk anaknya.

Itulah bukti ibu saudari sebenarnya sayang anaknya dan anaknya pula perlu mensyukuri hal ini kerana ada segelintir ibu yang lebih teruk perangainya kerana mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak.

Dengan memahami dan menginsafi hakikat ini Dang Setia mahu minda saudari lebih tenang dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi.

Mungkin tidak banyak boleh dilakukan untuk mengubah sikap ibu, namun saudari boleh belajar dan berusaha memenangi hatinya supaya dia lebih mesra dengan saudari serta adik beradik lain.

Jika kalian semua ikut apa yang disuruhnya serta tidak melakukan perkara yang dia tidak suka, Dang Setia yakin ibu saudari tidak akan melenting tidak tentu pasal.

Seperkara lagi, berbanyaklah berdoa kepada Allah dengan memohon ibu saudari diberi petunjuk serta sedar akan kesilapannya. Memaki hamun anak memang perbuatan yang dilarang agama Islam dan pastikan saudari tidak melakukan perkara sama apabila saudari bergelar ibu satu hari kelak, insya-Allah.






Isteri tidak boleh terima hidup susah




SAYA berusia 25 tahun dan isteri saya 20 tahun. Kami baru mendirikan rumah tangga Ogos tahun lalu. Dalam tempoh singkat itu, saya dihimpit masalah kewangan. Isteri saya tidak dapat terima saya gadaikan barang kemasnya padahal saya sudah menebusnya semula.
Ringkas kata, isteri tidak boleh terima hidup susah, biarpun tempoh perkahwinan kami baru menjangkau lima bulan. Selepas kes di mahkamah selesai, dan hakim mengesahkan kami masih suami isteri, dia tidak mahu kembali pada saya.

Dia memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah jika saya tidak mahu melepaskannya dengan cara baik. Sekarang isteri tinggal bersama bapanya dan saya tinggal di rumah keluarga saya. Keadaan bertambah teruk apabila ahli keluarga isteri dan kawannya masuk campur.

Kini, saya tidak dapat berjumpa ataupun melihat isteri saya yang sudah termakan hasutan kawan dan ahli keluarga. Ini disebabkan fitnah oleh kawan isteri yang kononnya saya mengaibkannya, sedangkan saya amat menyayanginya. Sekarang isteri sudah tiada perasan langsung pada saya.

Perlukah saya lepaskan isteri saya ataupun berkorban untuk kebahagiaannya. Apa yang perlu saya lakukan untuk memulihkan hubungan kami. Salah ke saya sebagai suami menggadai barang kemas isteri?
SHARK

JAWAPAN


Perceraian adalah perkara halal tetapi tidak disukai Allah. Jadi, sebaik-baiknya ia perlu dielakkan. Namun, sebagai Maha Pencipta, Allah tahu fitrah atau sifat manusia. Sebab itulah dihalalkan-Nya perceraian kerana dalam keadaan tertentu, ia membawa kebaikan kepada kita.

Apabila berdepan dilema sama ada perceraian adalah tindakan terbaik untuk kita atau sebaliknya, cara paling mudah untuk menentukannya ialah dengan menyenaraikan kebaikan serta keburukan jika saudara bercerai dan begitu juga sebaliknya.


Jadi, tidak salah jika saudara cuba melakukan kaedah itu. Insya-Allah dengan cara itu saudara akan dapat melihat dengan lebih jelas apa pilihan terbaik. Jika kebaikan bercerai lebih banyak berbanding keburukan, mungkin bercerai tindakan terbaik.

Kebaikan yang Dang Setia maksudkan bukan hanya untuk saudara tetapi juga isteri saudara, dan ia juga wajib menggunakan hukum Islam sebagai kayu pengukur utama.

Maksudnya, jika saudara mengambil keputusan enggan menceraikannya, adakah ia membawa kebaikan serta kebahagiaan kepada kalian berdua? Lebih penting, adakah situasi rumah tangga anda berdua berjaya menepati ciri-ciri rumah tangga yang digariskan Islam?

Sebagai contoh, dalam keadaan sekarang di mana saudara tinggal dengan keluarga saudara dan isteri pula dengan keluarganya, bagaimana mungkin anda berdua mampu menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri yang disuruh oleh ajaran Islam?

Bila seorang isteri atau suami tidak melakukan tanggungjawab, saling tidak menghormati dan bermusuhan, apakah ertinya hidup berumah tangga dan bagaimana nikmat berumah tangga dapat dikecapi? Paling penting, kehidupan sedemikian menyebabkan suami isteri terbabit hanya bergelumang dosa.

Justeru, ambil kira semua faktor ini dan bersedialah menerima hakikat, biarpun ia terlalu pahit untuk ditelan.




Mengamuk nak kahwin




SAYA ada seorang adik perempuan berusia 18 tahun. Masalah bermula selepas adik tamat latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun lalu. Adik menyatakan hasratnya ingin berkahwin dengan seorang lelaki berusia awal 20-an. Biarlah dia saya namakan Joe.
Namun kami sekeluarga menolak secara baik hasrat adik kerana Joe tiada ciri-ciri lelaki yang baik. Saya berani berkata begitu kerana Joe pernah dibuang sekolah semasa di tingkatan empat berikutan masalah disiplin, selain suka bertukar ganti pasangan dan suka bergaduh.

Kakak Joe juga bermasalah kerana terbabit dengan dadah (pernah dipenjara) dan tak mustahil dia terbabit sama. Selain tiada pekerjaan, dia tidak pernah pun menunaikan solat lima waktu dan dia sendiri mengaku tidak pernah khatam al-Quran.

Dalam hal mencari pasangan hidup, Islam mementingkan aspek agama, keturunan yang baik, harta, dan paras rupa. Bagi kami Joe hanya memenuhi syarat paras rupa semata-mata.

Untuk pengetahuan Dang setia, emak saya seorang guru agama dan setiap malam dia mengajar kira-kira 40 kanak-kanak mengaji al-Quran. Seorang adik saya juga belajar di sekolah agama.

Selepas hasratnya ditolak, pada mulanya adik seolah-olah menerima penjelasan keluarga untuk melupakan Joe. Namun, selang dua hari, adik buat-buat pengsan dan tiba-tiba mengamuk supaya dikahwinkan dengan Joe. Lebih berat lagi adik mengaku yang dia dan Joe pernah terlanjur sebelum PLKN lagi.

Saya terkejut dan marah dengan tindakan adik yang seolah-olah sengaja ingin memalukan keluarga. Apa tidaknya, dia terpekik macam orang gila dan berlari keluar rumah sehingga perkara ini diketahui jiran.

Selama dua minggu bermacam-macam ikhtiar kami buat. Ketika berubat cara kampung, kami dimaklumkan adik disyaki terkena ubat pengasih oleh Joe. Saudara-mara dan rakan turut memberi motivasi kepada adik tapi sia-sia belaka kerana adik tetap gilakan Joe.

Yang menyakitkan hati, adik sentiasa memalingkan dan bermasam muka terutama dengan ibu bapa. Malah sabun mandi dan segala peralatan yang dikongsi sebelum ini, adik pakai yang berasingan supaya tidak berkongsi dengan keluarga.


Malah, sejak hari adik mengamuk dia tidak pernah bercakap dengan emak dan ayah, walaupun puas emak dan ayah cuba memulakan perbualan. Yang dia balas hanyalah jelingan. Saya sering melihat emak dan ayah menangis.

Terbaru, emak berbincang dengan adik dan suruh adik pilih antara keluarga dan Joe. Sambil tersenyum adik pilih Joe. Saya sangat kasihankan emak dan ayah. Kalau diikutkan hati hendak saja saya bunuh adik saya itu. Apa pandangan Dang Setia?
KAKAK

JAWAPAN


Masalah yang ditimbulkan adik saudari memang berat dan memeningkan keluarga. Terus terang, Dang Setia tiada kaedah atau jalan penyelesaian mutlak untuk mengubah sikap adik saudari itu, namun mungkin pandangan serta cadangan Dang Setia dapat sedikit sebanyak membantu saudari sekeluarga.

Bagi Dang Setia, sama ada adik saudari terkena ubat pengasih Joe atau memang dia sendiri yang mabuk cinta hingga lupakan keluarga, kedua-duanya ada kemungkinan. Namun, apa lebih penting yang ingin Dang Setia tekankan di sini ialah ketabahan saudari sekeluarga untuk menghadapi masalah ini.

Dalam setandan pisang, tentu tidak semuanya elok, pasti ada sebiji dua yang rosak. Jadi begitu jugalah dalam kehidupan kita berkeluarga. Jika ramai adik beradik, kita perlu terima hakikat tidak semestinya semua berjaya.

Dengan memahami hakikat ini, insya-Allah kita akan lebih tenang. Jika ada di kalangan anggota keluarga kita yang bermasalah, kita tidak seharusnya kecewa dan cepat melatah. Sebaliknya, kita perlu cepat menginsafkan diri dengan menganggap ini ujian Allah ke atas kita.

Mengambil contoh keluarga saudari, mungkin selama ini segala-galanya baik. Berdasarkan maklumat yang saudari berikan, saudari berjaya dalam kerjaya, adik saudari berada di sekolah agama dan ibu saudari pula melakukan pekerjaan murni dengan mengajar al-Quran.

Mudah-mudahan Allah memberkati dan memberi rahmat di atas keharmonian keluarga saudari itu, namun mungkin Allah ingin memberi lebih banyak lagi kebaikan, lantas dicetuskan-Nya ujian ini, sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang dikehendaki Allah menjadi baik, nescaya Allah akan memberinya cubaan.”

Dang Setia menekankan hal ini kerana di akhir e-mel, saudari menyatakan “kalau diikutkan hati, hendak saja saya bunuh adik saya.”

Dang Setia sedar kenyataan itu tidak bermaksud saudari benar-benar mahu membunuh adik saudari, namun ia memberi gambaran saudari amat kecewa dan seolah-olah sukar menerima apa yang berlaku.

Sebab itulah, Dang Setia mahu saudari bertenang dan muhasabah diri dengan melihat apa yang berlaku daripada sudut positif. Pasti ada hikmah tersembunyi di sebalik ujian Allah ini. Mungkin, kerenah yang ditimbulkan adik saudari akan membuatkan keluarga saudari lebih bersatu, lebih banyak melakukan ibadat dan lebih dekat dengan Allah.

Dalam menghadapi sikap anak atau adik beradik yang degil atau ingkar perintah Allah, Dang Setia menasihatkan ibu bapa dan anggota keluarga supaya menganggap mereka sebagai orang sakit dan bukan sebagai orang jahat.

Ini kerana, biar teruk mana sekalipun perangai mereka, mereka tetap darah daging kita. Jadi kita tidak boleh bermusuh atau membuang mereka, sebaliknya kita kena berusaha setakat yang kita mampu untuk memulihkan mereka.

Jika ditanya apa usaha yang perlu dilakukan, ia terpulang kepada saudari sekeluarga. Dang Setia yakin saudari serta ibu bapa sedia maklum ada banyak cara yang boleh dilakukan seperti berjumpa kaunselor atau kaedah Islamik termasuk melakukan solat hajat dan sebagainya.

Sama ada usaha kita itu berjaya atau sebaliknya, hanya Allah yang menentukannya. Yang penting kita berusaha dan terima apa saja ketentuan Allah itu seadanya dengan meyakini itulah yang terbaik untuk kita dan pasti ada hikmah di sebalik segala apa yang berlaku.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Ya TuHan....."

Post a Comment